Thursday, 28 July 2011

Marhaban Ya Ramadhan..

Kalau aku imbas kembali zaman kanak-kanak dulu, beberapa hari menjelang Ramadhan begini adalah waktu-waktu yang amat indah dan dinanti-nantikan oleh aku dan rakan-rakan sebaya di kampong. Zaman itu zaman mudah dan tulus. Mudah kerana kami yang rata-rata belum cukup umur tidak perlu mengambil tahu sangat mengenai sepak terajang kehidupan di dunia yang menipu ini. Tulus kerana rata-rata kami masih suci minda dan jiwa. Tiada dengki dan khianat, kalau adapun setakat bergaduh pagi tapi akan berbaik semula disebelah petangnya.

Bagi kami Ramadhan (dalam bahasa kami ketika itu, ’bulan puasa’) adalah satu bulan yang sepanjang bulannya kami akan mengadakan aktiviti-aktiviti yang lebih dari bulan-bulan biasa. Ini kerana, pada bulan puasa ini kami akan bermain dari pagi hinggalah kemalam.  Aktiviti siang seperti mandi sungai dan lombong kami kerapkan, kenapa? Entahlah kenapa kerana kami tidak pula pernah bertanya sesama sendiri dan kami tidak pula pernah membantah pada sebarang cadangan atas kekerapan itu.

Sering Ramadhan ketika itu jatuh pada musim cuti sekolah. Aktiviti kami mudah, sebelah pagi kami  akan berkumpul di rumah Mak Tua untuk mengaji Al-Quran dan pengajian akan bermula sebaik saja Mak Tua selesai sembahyang dhuha. Geng kami agak ramai, lebih kurang 10 lelaki dan 8 perempuan. Selesai sahaja mengaji kami akan terus bermain. Apa saja cadangan aktiviti  bagi kami nampak elok belaka. Kalau ada pertelingkahan pun dapat kami selesaikan secara baik. Jika ada isu yang tidak boleh diselesaikan dengan cara baik sekali pun, kami tidak akan bertindak seperti biasa kerana sebaik sahaja sesuatu pergaduhan mula tercetus akan ada suara (selalunya dari rakan perempuan kami) yang menjerit, “Oii! Korang tak puasa ke? Kang batal puasa kang..ni bulan puasa ini!!

Apabila matahari sudah tegak dikepala,  tekak masing-masing sudah mula terasa perit. Tambahan pula dibulan puasa ini kami kerap meludah…entah kenapa,  mungkin untuk nampak lebih berpuasa barangkali.  Kami akan berhenti bermain dan berpecah dengan geng perempuan. Geng lelaki akan mula menyusur jalan pintas di belakang rumah Pak Hamid terus ke Jalan Bruseh dan terus ke Lembah. Tanpa kami sedari, kami masing-masing sudah pun berada didalam air yang nyaman. Sesekali kami akan menyelam. Rasanya tidak mengapa kut kalau tertelan sedikit air….itu fikir kami.  Tapi apa yang pasti, setelah selesai mandi manda badan kami terasa segar semula.  Kami akan pulang kerumah apabila masuk waktu zohor setelah berjanji akan berjumpa pada petangnya untuk bermain di rumah Udi atau Puji.

Geng kami patuh pada janji. Petangnya kami berkumpul tepat pada waktunya. Aktiviti bermain disebelah petang kami tamat sekitar pukul 6 kerana hendak bersiap sedia ke masjid.  Masjid adalah wajib pada bulan Ramadhan bagi kami. Bulan Ramadhan ada ’moreh’. Moreh adalah sambutan berbuka puasa di Masjid yang ditaja oleh orang persendirian, kampong mahupun syarikat.  Aku suka lauk gulai kawah Pak Ahad.  Kami juga bertadarus (kumpulan kanak-kanak diasingkan dengan dewasa). Tadarus itu perlu,  kerana kami akan dapat seringgit seorang untuk satu malam. Kami berazam untuk bertadarus sekurang-kurangnya untuk 20 malam kerana kami berkira-kira untuk ke Kampar atau ke Ipoh pada hari raya nanti.

Pulang dari masjid,  aku akan kedapur untuk menjenguk bubur kacang emak sebelum tidur.  Belum pun puas aku tidur,  emak sudah kejutkan untuk bersahur.  Mengantuknya tuhan sahaja yang tahu. Aku bersahur dalam keadaan terpaksa. Waktu menunjukkan jam  4 pagi dan aku sedang  mengagahi diri menjamah nasi berlaukkan telur asin (menu wajib waktu sahur) dan sedikit sayur pucuk paku masak lemak sardin dengan keadaan mata yang separuh tertutup. Selesai makan aku sambung tidur….dan mengimpikan Ramadhan yang masih ada lagi esoknya.  Aku senyum….aku suka Ramadhan!!!

No comments:

Post a Comment